I made this widget at MyFlashFetish.com.

Sunday 9 October 2011

mulut.


Posisinya di muka, bawah hidung atas dagu. Bilangan nya ada satu. Ejaan nya memerlukan empat huruf - m, u, l, t. Susunannya bermula dengan huruf 'm', diikuti 'u' dan 'l', disambung dengan 'u' dan diakhiri dengan 't'.
Mulut bila tertutup nampak leper, terpenyek. Tapi bila terbuka nampak kembang dan luas. Manusia kalau tak ada mulut orang akan panggil 'alien' atau dalam bahasa ibunda Daun, Makhluk Asing.
Memang nampak huduh kalau tak ada mulut. Persis rambutan tak ada rambut, durian tak ada duri, sel tumbuhan tak ada kloroplast, atom tak ada elektron, bla bla bla..Mulut hebatnya dapat membuat sesorang bersuara.
Dan sesetengah manusia ada yang dapat melagukan suara. Perkataan suara apabila ditambah imbuhan ber- di awalan nya akan terhasil satu kata kerja iaitu bersuara. Bersuara sinonimnya ialah bercakap.
Secara ringkas, asal suara dari mulut, asal bercakap dari suara. Jadinya apabila dibahagikan dua ayat ini, tahulah kita bercakap ini puncanya dari mulut.


rajah 1


Berdasarkan rajah 1 di atas, sesungguhnya mulut dan bercakap itu tidak dapat dipisahkan, dan seandainya bercerai bercakap itu dari mulut, tinggal lah mulut menjadi bisu. Dan di akhir jalan kerja di atas kita dapati timbulnya simbol negatif. Ini menunjukkan tidak sempurnalah seseorang yg bisu. Ya, itu lumrahnya. Mulut yang dapat bercakap itu adalah sesuatu yang sempurna. Dan mulut yang tidak dapat bercakap (bisu) itu cacat sifatnya. Difikir, dikaji, dan diteliti.. indah dan sempurna penciptaan mulut oleh yang Maha Esa terhadap manusia. Namun apa yang dikesalkan mutakhir ini atau mungkin sejak dari zaman nabi Adam a.s , mulut itu bagaikan tidak nampak besarnya dan tidak pula nampak kecilnya. Pada pengamatan dunia, mulut hanya lah suatu anugerah dari Tuhan untuk kita semua sebagai salah satu daripada anggota badan manusia.  Di mana berat dan ringan nya mulut kita semua terleka dan terlupa.

Ya, mulut itu satu sebab ia lengkap.Tidak seperti tangan,kaki,telinga,mata, dan lubang hidung. Ada sisi kanan, ada sisi kiri.
Ya, mulut itu satu sebab ia berharga. Tidak seperti tangan,kaki,telinga,mata, dan lubang hidung. Ada sisi kanan, ada sisi kiri. Hilang kiri ada kanan nya. Hilang kanan ada kiri nya.
Ya, mulut itu satu sebab ia istimewa. Tidak seperti tangan,kaki,telinga,mata, dan lubang hidung. Ada sisi kanan, ada sisi kiri. Hilang kiri ada kanan nya. Hilang kanan ada kiri nya. Tapi hanya mampu tunjukkan pergerakan, tidak mampu hasilkan suara.
Nah , itu lengkapnya mulut, itu berharganya mulut, itu istimewanya mulut.
 Surah pertama yang diturunkan kepada Rasulullah S.A.W, Al-‘Alaq. Ayat pertama bermaksud,”bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan,”. BACALAH. Peranan mulut untuk membuat bacaan.Dalam wahyu pertama kepada Rasulullah ini, kita dapat lihat betapa pentingnya mulut.
Daun terpanggil untuk menulis perihal mulut sebab dalam pengamatan Daun, sudah banyak perkara buruk yang terjadi lantaran kepada ke’ringan’an mulut apabila berbicara. Kita seolah-olah mengabaikan tanggung jawab kita menjaga mulut apabila dengan sewenang-wenangnya memaculkan perkataan-perkataan kesat. Apabila berasa marah, kita melenting, lantas dengan pantas lidah yang menjadi tulang belakang mulut kita pun melontarkan berbagai-bagai kata-kata yang tidak senang untuk didengari. Mulut yang tadinya lembut menjadi keras dengan kata-kata kesat yang dilemparkan.
Betapa besar pengaruhnya mulut sehingga mampu menjatuhkan sebuah empayar. Betapa kuat berbisanya mulut sehingga dikatakan lebih tajam daripada sebilah pedang. Jagalah mulut(percakapan) kita, kerana sesungguhnya setiap bait kata yang dilemparkan dari mulut kita secara langsung mencerminkan peribadi kita. Terhiris pedang di badan sakitnya mampu hilang dimamah masa. Namun sakitnya hati dek kata-kata seseorang itu memakan masa yang lama untuk sembuh atau mungkin tidak sembuh sehingga ke hujung nyawa. Fitnah itu dosanya lebih besar daripada membunuh. Bagaimana boleh bersanggupan untuk menabur fitnah andai kita tahu kesannya terhadap diri (dunia & akhirat),masyarakat, dan sosio ekonomi Negara? Tidakkah kita berasa malu terhadap Allah dan kepada setiap makhluk yang bernafas di muka bumi ini dengan tindakan kita menabur fitnah? Dalam al-Quran jelas mengatakan fitnah itu lebih bahaya daripada pembunuhan (al-Baqarah 191 dan 217). Pembunuhan memerlukan senjata dan fitnah itu hanya lah dengan mulut. Namun kesan fitnah lebih besar daripada kesan mengangkat senjata.
Berjaga-jaga lah apabila bercakap. Undang-undang nya mudah. Apabila ada keperluan untuk bercakap, cakaplah. Kerana apabila anda bercakap untuk menegakkan kebenaran atau berdakwah itu adalah perkara yang amat mulia dan digalakkan. Namun, harus diingat sekiranya perbualan atau bercakap itu tidak dapat memberi  faedah atau hanya akan memburukkan keadaan, berdiam diri itu adalah lebih baik. Sekiranya ada sesuatu yang hendak dibicarakan dan merupakan sesuatu yang tidak pasti, ada baiknya untuk tidak bercakap. Kalau perkara yang dikatakan itu benar dan mengaibkan seseorang jatuh hukum berdosa.
Banyak sangat isu yang berbangkit sekarang, dari kes video lucah, Islamic Fashion Show (IFS), BERSIH2.0, komunisme, Islam-Kristian, Cincin berlian USD 24 juta, kenaikan harga barang, halting top up tax,  sampailah ke  ‘cedok’ bajet 11/12..
Bercakaplah bila pasti, dan senyap lah bila ragu-ragu. Boleh?
"Mata melihat, akal berfikir, iman tentukan"